Kredit : Rancangan Sembang Tamu: Dilema Pengembara menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 16 April 2021 (Jumaat), pukul 10.00 pagi.
Link: https://www.youtube.com/watch?v=bQCPNh8Es1o
Hai semua! Selamat kembali ke laman blog saya. Hari ini saya ada cerita menarik yang ingin dikongsikan bersama rakan-rakan semua. Pada minggu lepas, saya telah menonton satu rancangan sembang tamu yang dijalankan oleh Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP. Rancangan tersebut sangat menarik hanya dengan melihat tajuk yang akan dikongsikan sahaja iaitu tentang Dilema Pengambara yang disampaikan oleh Dr. Siti Nur Alia. Dr. Alia merupakan seorang pensyarah muda yang sering kali mengembara ke serata tempat dan telah pun mula mengembara ke tempat yang jauh dari usia muda lagi. Dr. Alia telah berkongsi tentang pengalaman beliau ketika pengembara ke semua tempat yang telah dikunjungi oleh beliau sama ada berseorangan mahupun bersama rakan-rakan atau keluarga. Dr. Alia juga telah mengembara ke sebanyak 21buah negara.
Antara perkara yang menarik perhatian saya semasa menonton rancangan ini adalah apabila Dr. Alia memberitahu bahawa beliau pernah mengembara ke Itali selama seminggu bersama rakan-rakannya pada usia 17 tahun. Bagi saya, usia 17 tahun merupakan usia yang sangat muda bagi remaja Melayu di Malaysia. Pengalaman yang dikongsikan oleh Dr. Alia tersebut membuat saya teruja untuk mengembara ke tempat yang jauh juga. Dr. Alia juga berkongsi bahawa perkara utama yang perlu ada untuk memulakan pengembaraan adalah sifat berani dalam diri. Kita perlulah berani mencabar diri sendiri untuk mengembara ke tempat baru kerana banyak perkara yang dapat kita belajar daripada memulakan langkah utama tersebut.
Selain itu, Dr. Alia juga berkongsi bahawa beliau juga pernah berasa sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan atau persekitaran tempat yang beliau mengembara kerana faktor bahasa dan budaya yang berlainan. Walau bagaimanapun, beliau juga memberitahu bahawa kita perlu yakin dan cuba untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan orang tempatan dengan baik. Belajar bahasa tempatan adalah satu kemahiran yang baik untuk berkomunikasi dengan mereka di mana selalunya orang tempatan sangat mesra dengan pengembara yang ramah. Perkara ini membuat saya sangat teruja untuk belajar bahasa asing sesuatu tempat yang akan saya lawati pada masa akan datang.
Pada masa yang sama, Dr. Alia juga memberitahu bahawa ketika mengembara, kita perlu membuat persediaan yang rapi dan secukupnya dari segi kewangan, baju, makanan dan juga ubat-ubatan. Persediaan ini amat penting ketika membantu kita melalui pengembaraan yang sukar lebih-lebih lagi apabila mengembara seorang diri. Apa yang lebih penting adalah pencarian makanan yang halal di negara asing. Semua pasti suka dan teruja untuk mencuba makanan baharu dari setiap negara yang dijelajahi tetapi untuk mencari makanan yang halal kadang-kadang sukar. Tetapi itulah yang menyeronokkan di mana kita mengembara ke setiap tempat untuk mencari dan mencuba makanan halal. Tetapi jangan risau, banyak sahaja tempat-tempat diluar negara yang menyediakan makanan yang halal.
Apa yang penting adalah sediakan payung sebelum hujan. Hal ini kerana, pasti banyak cabaran yang akan kita lalui ketika mengembara ini tetapi perkara ini tidak akan mematahkan semangat kita untuk terus mengembara.
Seronoknya kalau dapat mengembara ke semua tempat. Tidak kisahlah, sama ada di dalam negara mahupun di luar negara. Setiap tempat baharu yang menyebabkan kita teruja dan belajar perkara baharu adalah satu pengembaraan yang hebat. Selain itu, banyak pengalaman menarik yang dapat kita perolehi sepanjang pengembaraan yang kita lalui. Yang penting, setiap kali pergi mengembara mestilah ambil gambar sebagai kenangan.
Itulah antara perkara yang saya dapat daripada perkongsian yang telah disampaikan oleh Dr. Alia. Jika kawan-kawan ingin mengetahui lebih lanjut boleh lah tonton Rancangan Sembang Tamu ini. Pasti semua akan berasa seronok dan teruja dengan perkongsian yang telah disampaikan oleh Dr. Alia tersebut. Jom sama sama kita mengembara ke seluruh duniaa!!
Bukti Kehadiran
No comments:
Post a Comment