Asas Grafik dalam Multimedia
Asas grafik merupakan perkara
asas yang penting dan perlu difahami oleh semua yang berminat dalam penggunaan
kamera, video serta apa juga bahan yang mengandungi grafik. Asas grafik terdiri
daripada lima elemen iaitu mudah, warna, teks, kesesuaian dan keseimbangan.
Setiap elemen ini seharusnya ada dalam setiap foto mahupun video yang berkaitan
dengan grafik. Pemahaman tentang asas grafik adalah penting dalam penyampaian
mesej berbentuk grafik dengan sempurna.
Elemen Asas Grafik
1. Mudah
Mudah dapat
didefinisikan sebagai penglihatan seseorang terhadap sesuatu gambaran yang
mudah difahami sama ada dalam bentuk gambar mahupun video. Malah, elemen mudah
juga dilihat sebagai sesuatu mesej yang gambaran tersebut dapat difahami tanpa
sebarang kekeliruan. Elemen mudah ini dapat difahami maksud gambaran tersebut
oleh seseorang dengan tepat. Sebagai contoh, sekeping gambar sebuah kereta
berwarna hitam yang terletak di halaman rumah. Seseorang yang melihat gambar
tersebut pasti akan terus faham bahawa gambar itu ialah tentang sebuah kereta
yang berwarna hitam.
2.
Warna
Warna dapat
didefinisikan sebagai kombinasi warna ataupun satu warna dalam sesuatu gambaran
dalam bentuk gambar mahupun video. Grafik yang wajar seharusnya mengandungi tidak
lebih daripada tiga warna. Walau bagaimanapun, grafik yang mengandungi lebih
daripada tiga warna boleh didapati dalam kebanyakan gambar atau video. Hal ini
terpulang kepada objektif atau mesej yang ingin disampaikan oleh seseorang
melalui bahan grafik mereka. Terdapat juga grafik yang mempunyai satu warna
sahaja dan hal ini juga mengikut mesej yang ingin disampaikan. Contohnya,
sekeping gambar sebuah kereta yang berwarna biru dan disertai dengan pokok di
belakang yang berwarna hijau. Terdapat juga awan yang berwarna kebiruan. Gambar
ini jelas menarik kerana mempunyai tiga warna yang menyerlah dan memfokuskan
kepada kereta, pokok dan awan.
3.
Teks
Teks
merujuk kepada jenis dan saiz font yang dipilih dalam persembahan grafik.
Selain itu, kandungan dalam teks juga diambil kira bagi tujuan pemahaman
terhadap grafik. Ketiga-tiga factor dalam elemen grafik ini perlu diteliti
dengan baik supaya mesej dapat disampaikan dengan tepat. Walau bagaimanapun,
warna yang terdapat dalam font juga penting dalam asas grafik dan memainkan
peranan yang penting. Sebagai contoh, iklan komputer riba disertai dengan teks
“Nipis dan Ringan” memberi persepsi tentang computer riba tersebut. Oleh itu,
teks tersebut seharusnya ditulis dengan besar dengan menggunakan jenis font yang
menarik supaya pengguna berminat untuk membelinya.
4.
Kesesuaian
Kesesuaian
dalam grafik dapat didefinisikan sebagai grafik yang bersesuaian dengan latar
iaitu latar tempat, latar masa dan latar watar yang terdapat dalam sesuatu
gambar ataupun video. Setiap watak atau bahan dalam grafik bersesuaian antara
satu sama lain. Sebagai contoh, gambar tiga orang kanak-kanak sedang bermain di
halaman rumah yang terletak di sebuah kampung. Kanak-kanak sedang berlari serta
wajah kanak-kanak yang sedang ketawa. Langit yang hamper gelap menunjukkan
suasana waktu petang. Terdapat tulisan di bawah foto tersebut “Suasana di
kampung saya”.
5.
Keseimbangan
Keseimbangan
dalam grafik merujuk kepada ruang dalam gambar atau video. Ruang yang
dimaksudkan ialah ruang di kiri dan kanan serta atas dan bawah. Sama ada ruang
kosong ataupun grafik yang sama berat di ruang itu. Namun, seimbang juga
diterima apabila grafik dilihat dapat menyampaikan mesej dengan baik. Sebagai
contoh, ruang sebelah kiri gambar terdapat lima batang pokok besar seimbang
dengan sebuah rumah kampung di sebelah kanan gambar. Maka, lima batang pokok
besar seimbang dengan rumah kampung. Di sebelah atas gambar pula terdapat awan
yang luas berwarna biru manakala di sebelah bawah pula terdapat padang rumput
berwarna hijau yang luas. Maka, awan biru memberi keseimbangan kepada rumput
yang berwarna hijau.
Rujukan:
Normaliza Abd Rahim (2019), Multimedia dalam Bahasa, Penerbit UPM, Serdang.
No comments:
Post a Comment